Pertelingkahan antara UMNO dan PAS sudah berdekad. Walaupun berasal dari kumpulan yang sama, percanggahan mengenai pendekatan dalam menegakkan ugama menyebabkan jurang yang dalam. Permusuhan in reda sedikit dari 1969 hinnga 1978 bila PAS bergabung dengan Parti Perikatan untuk menubuhkan Barisan Nasional (BN) untuk seketika.
Kemelut politik kebencian antara PAS dan UMNO ini menjadi lebih teruk mulai 1981 dengan tersebarnya dokumen “Amanat Haji Hadi”. Lembarannya bermula dengan frasa “Saudara-saudara sekelian percayalah, Kita menentang UMNO, ….” dan ditengahnya “Perjuangan kita adalah jihad, ….” Dan selanjutnya ayat “… kalau kita mati melawan puak-puak ini, mati kita adalah syahid…..” Saya sendiri melihat taksubnya ahli PAS terhadap amanat ini bila melihat poster amanat ini ditampal di dinding rumah saudara saudara saya di Paya Keladi dan Permatang Tinggi. Juga, terasa kesan perseturuan ini bila saudara saya tidak bersembahyang di surau 50 meter dari rumahnya dan sebaliknya bermotosikal ke surau lain.
Episod permusuhan ini tersangat lama, namun tanpa banyak riuh rendah, perubahan polisi besar berlaku bila PAS menyertai Gagasan Rakyat / Pakatan Alternatif dalam pilihanraya umum Malaysia 1990, lalu bekerjasama dengan DAP, PBS, dan Parti Rakyat Malaysia (PRM). Ia bersambung dengan penyertaan PAS dalam Pakatan Rakyat mulai sekitar tahun 2008.
Kita faham perubahan besar ini berlaku kerana kesedaran bahawa untuk berkuasa PAS perlu bekerjasama dengan parti lain walupun tidak sepenuhnya sehaluan. Tapi langkah ini, membawa akibat buruk yang parah termasuk kehilangan maruah.
Namun berlalunya episod persahabatan PAS dengan DAP dan PKR, yang berakhir dengan perseteruan, memberi pengajaran kepada PAS. Hilanglah penyebab untuk memusuhi UMNO hanya kerana UMNO bekerjasama dengan parti bukan Islam dan membawa pendekatan yang dikatakan “sekular”. Poster amanat yang tertampal telah pun lama tanggal.
Lupus sudah amanat lampau walaupun tidak tersurat tetapi terasa sudah terpendam. Kenyataan “sedia bekerjasama dengan siapa saja” selepas pilihanraya boleh ditafsir ditujukan kepada UMNO. Besar kemungkinan, sudah ada kesediaan untuk bersetuju untuk berbeza pendapat. Dengan bermulanya gerakan ‘Penyatuan Ummah. saya kira politik kebencian antara PAS dengan UMNO sudah berakhir.
Category Archives: Pos Bahasa Malaysia
Berakhirnya Satu Episod Politik Kebencian (2)
Kebencian antara TunDM dengan DAP bermula sebagai sebahagian dari politik kebencian antara UMNO dan DAP. Sebelum ini, DAP memandang TunDM sebagai pejuang ultra Melayu malah dianggap mereka seorang yang memupuk perkauman. TunDM pula sangat benci dengan bantahan DAP terhadap keistimewaan orang Melayu dan slogan Malaysian Malaysia. Berdirinya TunDM sebaris dengan LKS dan ChenMH semada penubuhan Pakatan Harapan menandakan titik noktah kepada permusuhan berzaman ini. Dengan wujudnya penyokong yang bersedia bersama TunDM, sedikit sebanyak ada sebahagian orang Melayu yang sanggup bekerjasama dengan DAP (mungkin juga ada permaafan antara mereka?).
Namun, tindak tanduk TunDM telah diawali oleh DatukSAI yang dulunya pengikut tegar TunDM dalam memusuhi DAP. DatukSAI dalam keinginan untuk mengambil alih kerajaan telah dipaksarela oleh keadaan untuk bekerjasama dengan DAP melalui PR. Oleh itu kita dapat lihat ada segelumit orang Melayu (bukan semestinya pengikut TunDM saja) yang berganding bahu dengan DAP. Perubahan ketara ini agak mengejutkan. Contohnya, disetengah tempat di P.P. kalau dulunya mereka tidak hendak menerima peruntukan kerajaan BN untuk masjid mereka (? haram), mahu pula menerima sumbangan dari LGE (diiringi dengan pujian).
Mungkin dunia telah terbalik, tetapi kita boleh anggap satu episod politik kebencian peribadi antara TunDM serta DatukDSAI dengan DAP telah berakhir dan permusuhan antara orang Melayu dengan DAP sedikit sebanyak telah terhakis.
Bila difikirkan dari sudut kesejahteraan negara, (walaupun politik kebencian antara DAP-UMNO masih menebal), kita harus bersyukur penambahbikan ini.
Berakhirnya Satu Episod Politik Kebencian (1)
Semenjak 2018 TunDM telah bersedia bekerjasama dengan DSAI seorang yang dulunya (semenjak 1998) beliau anggap tidak bermoral lalu tidak layak menjadi Perdana Menteri. Di pihak DatukSAI pula, dahulu beliau menggelarkan TunDM sebagai seorang yang zalim bagai firaun. Pusingan-U ini agak mengejutkan, namun ia menandakan berakhirnya satu episod politik kebenciaan yang mendalam, melibatkan bukan sahaja kedua personaliti ini tetapi memecahkan masyarakat kedalam dua kem yang saling membenci.
Bila difikirkan dari sudut kesejahteraan negara, saya rasa kita haruslah bersyukur keatas perkembangan ini.