“kadang kadang menyembuhkan; kerap kali melegakan; sentiasa memberi keselesaan”
(“to cure sometimes, to relieve often and to comfort always.”)
Hippocrates (460 – c. 370 BC),
Ambroise Paré, Doktor Perancis (c. 1510 – 20 December 1590)
KONSEP PENJAGAAN PESAKIT SECARA MENYELURUH
Penjagaan pesakit secara menyeluruh ialah satu pendekatan yang berasaskan falsafah memberi perkhidmatan yang memenuhi semua keperluan pesakit dari segi fizikal, psikologi dan sosial. Pendekatan ini juga disebut sebagai amalan “perubatan holistik”. Objektif, strategi dan pendekatan yang jelas diperlukan untuk membolehkan konsep ini diamalkan. Konsep ini sesuai digunapakai untuk dua tujuan utama iaitu:
- Pengolahan kaedah dan komponen penjagaan pesakit
- Merancang rangka kerja penjagaan pesakit yang bersepadu dan menyeluruh
AKTIVITI PENJAGAAN PESAKIT
Skop aktiviti penjagaan seseorang pesakit merangkumi semua usaha kearah menyelesaikan masalah kesihatannya dan juga perkhidmatan lain yang membolehkan aktiviti ini dijalankan dengan lancar. Aktiviti penjagaan pesakit (patient care) boleh dibahagikan kepada:
- Penjagaan klinikal pesakit (clinical patient care)
- Prosedur pentadbiran dan komunikasi (mengaturkan aktiviti dan memberi penerangan)
- Perkhidmatan hospitaliti (menyediakan persekitaran dan suasana yang kondusif)
Perbincangan ini ditumpukan kepada aktiviti penjagaan klinikal pesakit. Komponen-komponen pengurusan pesakit yang lain disentuh sepintas lalu untuk menunjukkan bahawa ia juga penting.
PROSES KERJA PENJAGAAN PESAKIT
Dari segi prosedur kerja, aktiviti penjagaan klinikal pesakit (clinical patient care) terdiri dari proses proses berikut:
- Menjana, mengutip dan mengumpul data klinikal (melalui temubual, pemeriksaan, sumber sediada seperti rekod pesakit, surat rujukan dsb.)
- Menganalisa dan mentafsir data untuk membuat diagnosis dan menentukan keperluan pesakit
- Merancang penjagaan kes
- Memberi rawatan
- Memantauan perkembangan penyakit
- Mengawas kesan dan hasil rawatan
- Mengkaji semula diagnosis
- Menilai semula rawatan
- Membuat rumusan kes dan Merancang penjagaan berterusan
Penjagaan klinikal pesakit boleh juga dianggap sebagai aktiviti pengumpulan dan pentafsiran data. Data dianalisa serta ditafsir untuk membuat kesimpulan dan keputusan mengenai diagnosis dan keadaan kesihatan pesakit. Seterusnya, tindakan diambil berdasarkan keputusan tersebut. Setiap aktiviti direkodkan supaya pelaksanaan pelan dapat dipantau. Selepas itu, lebih banyak data dikumpulkan untuk membuktikan samada matlamat rawatan berjaya dicapai. Penjagaan pesakit secara menyeluruh memerlukan data yang mencukupi, sesuai, tepat dan terkini.
Aktiviti penjagaan pesakit kerap kali berbentuk suatu kitaran dimana sesetengah aktiviti dilakukan secara beruang ulang sepanjang tempoh penjagaan seseorang pesakit. Algoritma proses kerja penjagaan pesakit secara umum ditunjukkan dalam rajah dibawah.

PELAN PENJAGAAN BERSEPADU
Pemberi khidmat klinikal perlu membentuk satu pelan penjagaan bersepadu (integrated care plan). Pelan ini perlu mengambil kira kesemua keperluan pesakit dan berpandukan maklumat yang mencukupi.
Jumlah dan jenis maklumat yang perlu dikutip ditentukan oleh:
- Skop penjagaan
- Objektif penjagaan
Maklumat yang terkumpul perlu dianalisa dengan teliti sebelum kesimpulan dibuat. Didalam penjagaan pesakit klinikal, kesimpulan ini diolahkan sebagai diagnosis. Diagnosis ialah penentu utama bentuk rawatan selanjutnya. Data yang lengkap, tepat dan berkualiti membolehkan diagnosis yang tepat. Tahap ketepatan digambarkan dengan istilah seperti diagnosis awalan (provisional), terkini (working), tanggapan (presumptive), muktamat (definitive) dan terakhir (final).
Pemilihan rawatan yang sesuai bergantung besar kepada diagnosis yang tepat.
Membina Profil Pesakit Daripada Data Yang Lengkap
Satu keperluan asas bagi mengurus pesakit ia-lah mengenali pesakit dan masalahnya dengan teliti bersandarkan set maklumat yang lengkap. Sebanyak mungkin maklumat mengenai pesakit (disedut sebagai profil pesakit) dikumpul secara berterusan. Maklumat ini digunakan sebagai panduan kepada pemberi khidmat untuk membuat keputusan (decision making) dan untuk mencorak pelan penjagaan pesakit itu.
Sumber Data dan Cara Mengumpulnya
Perawat biasanya mengumpul data melalui proses berikut:
- Temubual untuk:
- Mengambil sejarah / riwayat penyakit
- Mengenalpasti profil pesakit
- Pemeriksaan fizikal
- Ujian klinikal ringkas
- Penyiasatan melalui ujian termasuk:
- Ujian makmal,
- Pengimejan,
- Pemeriksaan Endoskopi dan lain-lain
- Ujian fisiologi
- Mendapatkan data dari surat rujukan dan rekod lampau
- Merekodkan penemuan untuk setiap tindakan yang dibuat dan kejadian yang berlaku
- Memerhati dan memantau pesakit secara berterusan
Pemberi khidmat klinikal (doktor beserta petugas lain) akan mengumpul kesemua data ini, mentafsirkannya, merumuskan kesimpulan dan membuat keputusan. Tindakan dalam bentuk pelbagai terapi akan diambil dan lebih banyak data dikumpulkan untuk mengawasi kejayaan rawatan dan memantau perkembangan penyakit.
Kesemua data yang diperlukan tidak mungkin dikumpul sekaligus diperingkat awal. Sebaliknya data mengenai pesakit dikumpulkan sepanjang tempoh penjagaan keatasnya melalui proses pemantauan, semakan kemajuan dan kajisemula. Data terkumpul akan menggambarkan profil pesakit sepenuhnya dan dari situ keperluannya dikenalpasti.
MENENTUKAN SKOP PENJAGAAN
Skop Penjagaan dari Diagnosis yang Komprehensif
Untuk menawarkan penjagaan yang lengkap, skop penjagaan pesakit klinikal perlu meliputi kesemua aspek kesihatan pesakit. Lazimnya istilah diagnosis terbatas kepada penyakit yang sedang dialami oleh pesakit. Sepatutnya, diagnosis yang lebih komprehensif perlu merangkumi semua masaalah kesihatan yang dialaminya, termasuklah:
- Penyakit utama
- Penyakit sampingan
- Penyakit kronik sediada (yang telah dikenalpasti sebelumnya)
- Penyakit terdahulu yang belum sembuh atau masih aktif
- Kehilangan upaya dan kecacatan sediada
Skop Penjagaan yang Merangkumi Pelbagai Aspek
Bagi setiap penyakit yang dikenalpasti, adalah penting untuk menghuraikan masalahnya dengan mengambilkira pelbagai aspek berikut:
- Pathologi penyakit yang dialami
- Tahap keterukan penyakit
- Komplikasi dan perubahan morfologi (anatomi) dan kesan pelbagai sistem
- Gejala dan ganguan keselesaan yang perlu dikurangkan atau dihapuskan
- Kehilangan upaya atau fungsi yang disebabkan oleh penyakit
- Gangguan pemakanan (nutrition)
- Kesan psikologikal dan kesejahteraan sosial
- Kesan dari penyakit kronik sediada
- Kesan keatas penyakit terdahulu yang belum sembuh
Disamping tumpuan kepada penyakit itu sendiri, pertimbangan keatas keadaan pesakit sebelum dilanda penyakitnya juga penting; termasuklah:
- Tahap kesihatan sediada (sebelum sakit)
- Status pemakanan (nutrition)
- Gaya hidup dan tahap aktiviti
- Pengetahuan dan sikap terhadap kesihatan secara umumyang dan penyakit dihidapi
- Latar belakang mengenai alahan (allergi), kesan rawatan terdahulu seperti pembedahan/prosedur/bius (anaesthesia) dan kecederaan masa lepas
PELAN PENJAGAAN YANG KOMPREHENSIF
Objektif Penjagaan Pesakit
Objektif rawatan perlu ditentukan pada peringkat terawal pengurusan pesakit. Walupun rawatan muktamad hanya boleh diberikan setelah diagnosis yang tepat ditentukan, namun sebelum itu pelbagai rawatan boleh ditawarkan kepada pesakit.
Secara amnya objektif rawatan atau terapi yang diharapkan bergantung kepada jenis penyakit dan keadaan pesakit. Diantaranya ialah:
- Menghapuskan atau mengurangkankan kesan-kesan penyakit
- Mengekalkan, mengembalikan atau memperbaiki tahap kesihatan
- Mengelakkan atau mengurangkankan komplikasi rawatan
- Mengawal penyakit dari menjadi lebih teruk
- Mencegah penyakit dari berulang
Selanjutnya objektif menentukan pemilihan bentuk rawatan (secara umum) diantara tiga kategori utama :
- Terapi Penyembuhan
- Terapi Pengawalan
- Terapi Paliatif
Terapi Penyembuhan ialah usaha sedaya upaya untuk mencapai hasrat menghilangkan terus ataupun menghentikan proses penyakit. Ini sesuai untuk penyakit yang berpotensi untuk disembuhkan atau fungsi boleh dikembalikan keparas sebelum penyakit timbul.
Terapi Pengawalan digunakan untuk mengurangkan akibat penyakit yang kronik (contohnya penyakit diabetes dan darah tinggi) atau memperlahankan perkembangan penyakit yang sudah merebak supaya:
- Komplikasi dapat dihindarkan,
- Fungsi dipulihkan ketahap maksimum mungkin,
- Kualiti hidup diperbaiki
- Hayat pesakit dilanjutkan.
Terapi Paliatif terdiri dari beberapa kaedah rawatan yang diberikan bagi mengurangkan kesan penyakit yang sudah teruk dan tiada mungkin sembuh sepenuhnya. Penderitaan dikurangkan dan fungsi dipulihkan sebaik mungkin. Tumpuan rawatan ialah memberi keselesaan kepada pesakit (memeperbaiki kualiti hidup).
Ketiga-tiga pendekatan utama ini mengandungi komponen yang serupa iaitu :-
- Terapi khusus
- Terapi melegakan gejala (symptomatic treatment)
- Terapi sokongan
- Usaha pencegahan
- Pemulihan (rehabilitasi)
- Penggalakan (promosi)
Unsur rawatan yang perlu diberi perhatian teliti dan diutamakan ditentukan oleh dua faktor penting ia-itu tahap keterukan (severity) penyakit dan kesannya keatas keselesaan pesakit.
CARA MENCAPAI OBJEKTIF PENJAGAAN PESAKIT
Perhatian yang sepatutnya harus diberi kepada semua masaalah kesihatan yang sedang dihadapi oleh pesakit samaada yang baru berlaku ataupun telah lama wujud.
Penilaian Penyakit Utama
Menentukan Gred Penyakit dan Tahap Keterukkan
Tahap (stage) dan gred (grade) keterukkan sesuatu penyakit perlu ditentukan untuk tujuan:
- Menentukan prognosis
- Memilih jenis rawatan yang paling sesuai
Tahap dan gred seharusnya tidak bertumpu hanya pada penyakit utama tetapi meliputi keseluruhan kesihatan pesakit iaitu keterukkan gejala, ganguan fisiologi, kesan kekurangan pemakanan, gangguan psikologi dan gangguan sosial.
Penyakit Sampingan Yang Berlaku Serentak
Pesakit yang menghidapi penyakit yang melibatkan satu sistem mungkin sedang menderita daripada patologi pada sistem lain. Contohnya, pesakit yang menghidapi Radang Pundi Hempedu Akut (Acute Cholecystitis) mungkin juga menghidapi Jangkitan Para-paru (Pneumonia) di mana sekiranya tidak dikesan boleh mendatangkan kesan yang buruk.
Status Kesihatan Sediada
Sesuatu penyakit mengakibatkan gejala dan perubahan fungsi yang berbeza dikalangan pesakit. Begitu jua tindakbalas setiap individu dalam menghadapi penyakit begitu berlainan. Faktor utama yang memberi perbezaan ini adalah tahap kesihatan sediada yang bergantung pula kepada:
- Kewujudan penyakit sediada
- Taraf imuniti
- Taraf pemakananr
- Kestabilan minda, perasaan serta sikap pesakit
- Kebolehan berkomunikasi
- Kehadiran sokongan sosial
Penyakit Sediada
Masaalah kesihatan sediada (yang telah wujud sebelum berlakunya penyakit terkini) boleh dikesan semasa mengambil sejarah pesakit atau ujian saringan. Sumber lain ialah dari rekod perubatan terdahulu. Dengan itu rawatan terdahulu boleh diteruskan ataupun, dalam situasi tertentu, diubah atau ditangguhkan untuk sementara waktu.
Penyaringan Penyakit Kronik Lazim
Saringan melalui penilaian kesihatan dan penyiasatan secara umum perlu dibuat untuk mengenalpasti penyakit-penyakit kronik yang lazim; walaupun pesakit tidak menyatakannya secara sukarela. Jika dikesan, rawatan haruslah dimulakan dan diteruskan. Perawat digalakkan merujuk atau membuat konsultasi dengan perawat lain yang lebih pakar atau berkemahiran khusus dalam bidang berkaitan.
Antara pelbagai penyakit kronik yang lazim termasuklah:
- Asma / Chronic Obstructive Pulmonary Disease (penyakit salur pernafasan tersumbat secarsa kronik)
- Kencing manis
- Darah tinggi
- Sakit jantung (Ischemic Heart Disease)
- Gangguan fungsi ginjal (Renal impairment)
- Penyakt kulit yang kronik
- Penyakit psikiatrik
Seringkali, pesakit gagal mendapatkan rawatan bagi penyakit-penyakit yang kurang serius dan juga tidak meminta nasihat mengenai aspek kesihatan mereka yang terjejas. Mungkin mereka menganggap bahawa perkara tersebut adalah remeh atau mereka tidak menyedari masalah mereka boleh diselesaikan. Penyakit kurang serius atau masalah kesihatan yang kerapkali tidak diendahkan termasuklah :
- Immunisasi yang tidak lengkap dikalangan kanak-kanak
- Keadaan kesihatan gigi yang tidak memuaskan
- Penyakit kulit
- Jangkitan cacing
- Masalah pemakanan (anemia, obesiti)
- Masalah psikiatri
- Kecacatan dan kehilangan upaya (angota badan, penglihatan, pendengaran, pertuturan, dan sebagainya)
Memandangkan pengetahuan pesakit adalah terhad, perawat perlu perhatin dan bertindak sebagai penganjur bagi pihak pesakit dengan menggalakkannya memeberi perhatian kepada kesihatan dirinya. Apabila diminta oleh pesakit, perawat hendaklah memberikan bantuan yang diperlukan atau merujuk pesakit kepada pusat rawatan atau perawat yang sesuai.
RAWATAN KHUSUS
Objektif Rawatan
Sesuatu skim rawatan hanya berkesan jika ia sepadan (cocok) dengan jenis penyakit dan tahap keterukannya. Banyak penyakit dapat disembuhkan. Sesetengahnya dapat distabilkan dan kemudianya dikawal supaya komplikasi tidak berlaku atau menjadi lebih serius. Ada pula penyakit yang sudah terlanjur dan rawatan yang dapat diberikan terhad kepada usaha melegakan serta meningkat kualiti hidup. Dengan kata lain, objektif rawatan khusus (specific) terbahagi kepada usaha mencapai kesemua atau sebahagian dari kemungkinan berikut:
- Menyembuhkan
- Mengawal dan mengurangkan akibat
- Melegakan dan mekemperbaiki fungsi
Pemilihan Modaliti Rawatan
Kini terdapat pelbagai bentuk modaliti (teknologi) yang digunapakai untuk rawatan. Hampir setiap hari kaedah rawatan baru ditemui dan diperkenalkan. Namun begitu, kebanyakan jenis rawatan perubatan moden boleh dibahagikan kepada modaliti berikut:
- Penggunaan ubat-ubatan (medication or medical therapy)
- Pembedahan dan prosedur invasif (surgery or invasive procedures)
- Penggunaan tenaga fisikal (contohnya manipulasi, radioterapi, stimulasi elektrik dsb.)
- Kaedah psikologi (Psikoterapi, Kaunseling, Bantuan Sosial)
Perlu diingat bahawa kaedah kaedah asas ini digunakan oleh semua kategori perawat tanpa batasan.
Rawatan perubatan digunakan oleh kebanyakan kategori perawat. Pembahagian perawat kepada pakar perubatan dan pakar pembedahan, sudah tidak begitu jelas kerana kedu kategori ini menggunakan keduadua pedekatan itu disamping modaliti lain.
Rawatan pembedahan boleh ditakrifkan sebagai teknik merubah morphologi sesuatu anggota atau bahagian badan. Kaedah surgeri kini berubah dengan penggunaan saluran akses yang kecil (minimal access surgery) atau melalui saluran semulajadi (endoscopic surgery), peralatan yang digunakan juga kecil dan mengakibatkan perubahan morphologi yang sedikit. Kaedah pembedahan terbuka untuk kegunaan di semua bidang dan bukan digunakan oleh pakar bedah sahaja. Ternyata, pakar pakar seperti Pakar Radiologi, Kardiologi dan Endoskopi semuanya memakai modaliti pembedahan sebagai sebahagian dari pelbagai kaedah rawatan mereka.
Kaedah psikologi atau psikososial juga digunakan oleh seluruh petugas kesihatan tidak semestinya Pakar Psikiatri sahaja.
Penggunaan Pelbagai Modaliti dengan Berkesan dan Selamat
Perubatan moden berupaya memberi banyak kebaikan tetapi berkemungkinan mendatangkan keburukkan melalui kesan sampingan jangka pendek dan jangka panjang. Bagi setiap kaedah rawatan dan ujian, beberapa prasyarat tersendiri (pre-requisite requirement) perlu diikuti untuk memastikan supaya:
- Hasilnya berkesan (effective),
- Keselamatan pesakit terjamin (safe)
Sesetengah rawatan atau ujian hanya berkesan dalam keadaan tertentu sahaja. Jadi adalah menjadi kewajipan seseorang perawat untuk memilih modaliti yang paling sesuai (appropriate). Ia juga perlu memastikan bahawa pesakit berada didalam keadaan optima untuk menjalani rawatan atau ujian tersebut.
Rawatan Paliatif
Jika sesuatu penyakit tidak dapat disembuhkan atau dikawal, pelbagai rawatan masih dapat ditawarkan kepada pesakit. Modaliti yang digunakan untuk menyembuh penyakit boleh juga digunakan untuk rawatan paliatif dengan tujuaan berlainan seperti mengekalkan fungsi dan melegakan kesengsaraan. Dengan itu, pesakit dapat meneruskan baki kehidupannya dengan kualiti hidup yang memuaskan. Dalam konteks ini, jika diketahui prognosis penyakitnya adalah tidak baik, adalah tidak wajar untuk mendedahkan pesakit kepada risiko dan kesan sampingan sesuatu rawatan serta membelanjakan wang yang berlebihan. Rawatan melegakan gejala dan rawatan sokongan merupakan teras utama bagi rawatan paliatif. Ia dihargai oleh pesakit serta keluarganya dan sepatutnya memberi kepuasan kepada perawat.
RAWATAN MELEGAKAN GEJALA (Symptom)
Harapan utama pesakit semasa mendapatkan rawatan ialah supaya gejala penyakit yang dihadapinya dapat dihilangkan atau dikurangkan.
Penilaian Gejala dan Rawatan Melegakannya
Wujudnya sesuatu gejala dapat diketahui dengan memberi perhatian teliti terhadap apa yang di rungutkan oleh pesakit secara spontan (explicit complaints) semasa menemubual pesakit. Perawat perlu meluangkan masa untuk mendengar rungutan pesakit atau warisnya. Ada juga gejala yang tidak enak yang tidak disebut oleh pesakit secara sukarela (explicitly) tetapi boleh difahami; antara lain dari riak muka atau tingkah lakunya (implicit complaints).
Antara gejala utama yang menggangu pesakit ialah:
- Kesakitan (dalam pelbagai bentuk)
- Ketidakselesaan
- Kurang selera makan
- Tidak boleh tidur atau tidur terganggu
- Ganguan pelbagai deria
- Ganguan fungsi membuang air kecil dan besar
- Masaalah/ganguan fungsi seksual
- Gangguan psikososial
- Kehilangan keupayaan berinteraksi dengan orang lain
- Kehilangan keupayaan atau kelemahan fisikal
- Kehilangan keupayaan atau kelemahan mental (ingatan, berfikir)
Perawat perlu memberi perhatian yang cepat dan setimpal untuk melegakan gejala sejajar dengan usaha menentukan diagnosa dan memberi rawatan definitif.
RAWATAN SOKONGAN
Rawatan sokongan merupakan sebahagian dari rawatan keseluruhan dan memainkan peranan yang sama penting dengan rawatan khusus.
Resusitasi dan Penstabilan
Gangguan fisiologi kepada pelbagai sistem utama sering belaku akibat kesan penyakit. Yang selalu terlibat ialah sistem respiratori, pengaliran darah, sistem kumbahan serta keseimbangan cecair dan elektrolit. Tindakan segera perlu dibuat untuk menstabilkan kembali fungsi sistem yang terlibat.
Menilai Serta Memperbaiki Tahap Pemakanan
Kebanyakan penyakit memberi kesan kepada tahap pemakanan dengan mengurangkan selera makan, menganggu kemampuan untuk makan dan minum serta sistem penghadaman. Dengan mengetahui tahap pemakanan, perawat dapat memastikan maknanan yang diberikan adalah mencukupi dan seimbang. Sokongan pemakanan sangat diperlukan semasa rawatan pembedahan, kemoterapi atau radioterapi.
Penilaian dan Terapi Psikologi
Keadaan psikologi pesakit adalah sama penting dengan aspek fizikalnya. Keadaan minda pesakit sebelum berlakunya penyakit perlu diketahui. Kesan penyakit, dan tindakbalas pesakit terhadap kesan itu juga perlu dinilai. Pesakit perlu diberi penjelasan tentang penyakit yang dihidapi supaya ia bersedia dari segi mental untuk menerima kenyataan, faham dan yakin terhadap apa yang akan berlaku, dan teransang untuk menerima rawatan.
Kesan penyakit kepada kehidupan sosial pesakit harus dipertimbangkan termasuk dari aspek perhubungan dan interaksi pesakit dengan keluarga, rakan-rakan dan masyarakat. Untuk sesetengah penyakit, kemampuan pesakit untuk bekerja atau melakukan aktiviti lain (termasuk riadah dan hobi) turut terjejas.
USAHA PENCEGAHAN
Pencegahan adalah perkara yang sangat penting dalam penjagaan pesakit. Pesakit yang menghidapi sesuatu penyakit terdedah kepada kemungkinan untuk mendapat penyakit lain serta mengalami kesan sampingan rawatan atau tercedera. Dalam konteks penjagaan pesakit, pencegahan primari merujuk kepada pencegahan daripada kemungkinan belakunya penyakit-penyakit atau kecederaan baru semasa rawatan diberi. Penyakit dan kecederaan yang mungkin berlaku semasa rawatan tetapi boleh dicegah termasuklah jangkitan (nasocomial infection), kudis akibat tekanan (pressure sore), kecederaan mata, kesilapan pemberian ubatan dan sesetengah komplikasi surgeri mahupun bius. Penyakit lain yang boleh dicegah termasuklah Pulmonary atelectasis dan Deep vein thombosis.
Pencegahan sekunder boleh ditakrifkan sebagai usaha menghadkan kesan buruk yang disebabkan oleh penyakit yang dialami. Ini termasuk langkah untuk menghentikan penyakit daripada melarat, menyingkatkan jangkamasa serta tahap penderitaan dan mencegah berlakunya kecacatan.
Pencegahan tertiari berbentuk usaha pemulihan utuk menghadkan kecacatan atau mengembalikan fungsi yang hilang.
PEMULIHAN
Pemulihan (rehabilitation) ialah suatu komponen yang penting dalam penjagaan pesakit. Ia bermula dari peringkat awal penjagaan pesakit dan diteruskan sehingga fungsi pulih sepenuhnya atau kehilangan upaya dikurangkan semaksimum yang munkin.
Objektif umum rehabilitasi adalah untuk mengembalikan pesakit kepada masyarakat sebagai seorang yang berguna dan mempunyai kehidupan yang berkualiti.
Rawatan pemulihan (rehabilitasi) mempunyai dua fungsi dan objektif yang berkait rapat ia-itu:
- Pencegahaan
- Pengembalian bentuk dan fungsi
Komplikasi yang boleh dihindarkan atau diperbaiki melalui rehabilitasi ia-lah:
- Kehilangan upaya
- Kecacatan
- Kekurangan deria
Untuk mencegah, petugas perlu menjangkakan komplikasi yang mungkin berlaku dan mengambil tindakan pro-aktif untuk menghindarkannya dari berlaku.
Sebagai sebahagian dari perumusn diagnosis yang komprehensif, petugas klinikal perlu menilai kehilangan upaya, kecacatan atau kekurangan deria pesakit, samada disebakan penyakit terkini atupun sudah sediada.
Kaedah yang digunakan untuk rehabilitasi termasuklah:
- Pemulihan fizikal
- Latihan melakukan aktiviti tertentu
- Pengunaan alat bantuan
- Sokongan psikologikal
- Kaunseling
- Bantuan sosioekonomi
Tanggungjawab untuk menjalankan semua ini tidak bergantung pada jurupulih anggota (physiotherapist), jurupulih cara kerja atau kaunselor sahaja, tetapi seharusnya dilihat sebagai tanggungjawab bersama doktor, jururawat dan petugas penjagaan kesihatan lain.
PENDIDIKAN PESAKIT
Pendidikan pesakit semestinya disertakan dalam strategi penjagaan setiap pesakit. Pendidikan bertujuan memastikan pesakit memahami:
- Selok belok penyakitnya
- Rawatan yang dirancang dan sedang dijalankan oleh perawat untuk memulihkan penyakitnya
- Peranan pesakit sendiri dalam penjagaan kesihatannya
Tugas memberi penjelasan kepada pesakit juga menjadi tanggungjawab bersama semua petugas yang menjaga pesakit.
Penglibatan Pesakit & Waris Dalam Proses Penjagaan
Pesakit dapat menglibatkan diri dalam proses penjagaan penyakitnya jika ia digalakkan untuk berbuat demikian dan diberi maklumat yang mencukupi. Berbekalkan pemahaman yang jelas dan motivasi yang tinggi, pesakit akan lebih bersedia mematuhi arahan rawatan, berupaya mengambil bahagian dalam penjagaan diri mereka dan kurang berkemungkinan untuk menyalah tafsir tujuan dan kesan rawata. Pendidikkan juga diberikan kepada keluarga pesakit atau penjaga mengikut kesesuaian dan keperluan.
Promosi Kesihatan
Terdapat peluang yang luas untuk meyampaikan promosi kesihatan setiap kali pesakit datang kehospital, klinik atau pusat kesihatan. Ia boleh dilakukan dengan cara memberi pendidikkan dan nasihat untuk semua aspek kesihatan yang tidak semestinya ada kena mengena dengan penyakit yang sedang dihadapinya. Aspek-aspek tersebut termasuk :
- Mempraktik gaya hidup yang sihat
- Kebersihan diri
- Pengambilan makanan yang betul
- Pencegahan penyakit (immunisasi, pencegahan kemalangan, perancangan keluarga, dan sebagainya)
MEMANTAU, MENILAI & MENJAGA SECARA BERTERUSAN
Pemantauan Berkala & Berterusan
Pemantauan adalah suatu proses kerja yang sangat penting dalam prosedur penjagaan pesakit. Ia mengaitkan fasa pengenalan masalah dengan fasa rawatan dengan memberi gambaran mengenai perkembangan penyakit, kejayaan rawatan dan menentukan arahtuju selanjutnya. Perkara yang perlu dipantau secara berterusan ia-lah:
- Tahap kesihatan pesakit
- Perkembangan penyakit termasuk keberkesanan pelbagai rawatan terhadapnya
- Kesan yang tidak dikehendaki atau kesan sampingan rawatan
Oleh itu pemantauan perlu dimulakan dari peringkat awal lagi dan berakhir hanya selepas penyakit telah dianggap sembuh ataupun penjagaan telah dihentikan.
Pemantauan adalah berasaskan pelbagai kriteria dan bagi setiap kriteria cara pengukuran yang sesuai digunakan termasuklah:
- Pemerhatian berterusan gejala dan tanda
- Pengukuran berulangan parameter Fisiologi
- Pengukuran bersiri parameter Biokimia
- Ujian semula Mikrobiologi & Hematologi
- Ujian semula Pengimejan
- Ujian diagnostik berkala termasuk Endoskopi
Pemerhatian gejala dan penanda secara beterusan akan memberi gambaran samada pesakit bertambah sihat atau sebaliknya. Ia juga dapat menunjukkan samada penyakit bertambah teruk atau beransur pulih. Ukuran sesuatu parameter yang direkod secara berterusan boleh dipersembahkan dalam bentuk jadual (table) atau carta (chart), untuk mengambarkan alunan pergerakan naik-turun (trend). Sesetengah perubahan perlu tindakan segera. Sesetengah perubahan lain pula perlu dikaji dengan teliti sebelum sebarang perubahan dibuat.
Penilaian Semula
Prosedur penilaian semula merupakan perbandingan data yang diperolehi dari pemantauan, secara berkala, untuk mendapat jawapan kepada soalan soalan berikut:
- Sudahkah segala keperluan pesakit diambilkira?
- Adakah semua tindakkan yang dirancang telah dilakukan?
- Adakah objektif yang dikehendaki tercapai?
- Apakah tindakan selanjutnya yang perlu dilakukan?
Perkara perkara yang harus dikaji semula termasuklah:
- Semakan semula perkembangan penyakit
- Semakan semula keadaan kesihatan pesakit
- Memantau kesan rawatan
- Semakan semula diagnosis
- Semakan samada keputusan (decisions) yang tepat telah dibuat
- Semakan samada rawatan yang dipilih adalah sesuai dan berkesan
Kaedah yang digunakan untuk penilaian semula samalah seperti kaedah digunakan untuk tujuan pemantauan. Untuk mendapat gambaran yang tepat, data dari pemeriksaaan klinikal dan dari pelbagai jenis penyiasatan perlu dikumpulkan dan dianalisa secara menyeluruh. Tahap pencapaian hendaklah dibandingkan dengan matlamat (objective) rawatan untuk menentukan samada ia sudah tercapai atau terdapat kemajuan.
Sesetengah penyakit memerlukan pemantauan teliti dengan menggunakan ujian-ujian khusus contohnya tumor markers, Haemoglobin A1c (untuk diabetes) dll.
Walaubagaimanapun bagi kebanyakan penyakit, petanda yang digunpakai adalah tidak spesifik contohnya gejala, tanda dan perubahan biokimia. Dengan itu untuk mengetahui samada penyakit makin melarat atau telah berulang memerlukan kebijaksanaan yang terbentuk dari pengalaman, sikap berhati-hati dan tahap sangkaan yang tinggi (high index of suspicion).
Penjagaan Berterusan
Salah satu ciri utama penjagaan holistik adalah penjagaan berterusan. Kesinambungan penjagaan kes dipastikan supaya aktiviti rawatan menurut apa yang dirancangkan dan diteruskan hingga selesai. Ia juga boleh memastikan supaya pencapaian terdahulu dikekalkan dan manfaat ditambahkan. Pemantauan secara berterusan atau berkala perlu untuk menilai semula keadaan pesakit. Langkah yang perlu digunapakai untuk memastikan penjagaan berterusan berlaku termasuklah:
- Memberi temujanji untuk rawatan susulan mengikut jadual yang yang sesuai dengan perkembangan penyakit dan kaedah rawatan
- Menyediakan dan merekodkan plan perancangan rawatan lanjutan
- Menentukan jenis jenis gejala atau parameter yang perlu dipantau untuk mengesan samada penyakit telah berulang ataupun komplikasi jangkapanjang telah berlaku
- Menyediakan mekanisma untuk membolehkan pesakit sendiri mengesan lebih awal gejala atau komplikasi dan memberi mereka kemudahan untuk mendapat bantuan diluar jadual temujanji
Memandangkan ramai kakitangan terlibat dalam penjagaan pesakit, komunikasi yang baik anatara mereka adalah amat penting. Ia dijayakan melalui:
- Dokumentasi rekod pesakit yang tepat dan lengkap
- Surat rujukan atau pesanan lisan kepada petugas selanjutnya yang ditulis / disampaikan dengan baik
- Ringkasan kes yang jelas dan mencukupi
- Arahan secara lisan atau bertulis kepada pesakit yang mudah difahami
- Galakan kepda pesakit untuk menurut plan rawatan (compliance to care plan)
Suatu perkara yang amat penting ialah menentukan siapakah perawat (doktor atau jururawat) yang bertindak sebagai penjaga utama pesakit serta bertanggungjawab menyelaras penjagaan kes (case coordinator, case manager). Di samping menentukan penjagaan adalah seperti yang diatur, aspek lain yang perlu diberi perhatian adalah memastikan
- segala rawatan yang diberikan oleh pelbagai kakitangan perubatan tidak bercanggah tetapi mengikut objektif yang ditetapkan tanpa pertindihan atau konflik
- peskit memahami langkah langkah rawatan yang telah diatur dan bekemampuan mengikutinya
PROSEDUR PENTADBIRAN & KOMUNIKASI
Untuk memastikan kepuasan pesakit, prosedur pentadbiran dan komunikasi mestilah dilakukan secara lancar dan berkesan. Prosedur-prosedur ini termasuklah:
- Pendaftaran / prosedur kemasukan ke wad
- Penerangan / orientasi
- Mendapatkan persetujuan (taking consent)
- Pengeluaran bil dan Penerimaan bayaran
- Prosedur keluar wad / discaj
- Pemberian temujanji
Semua prosedur ini perlu diubahsuai mengikut keperluan pesakit. Keberkesanan komunikasi adalah amat penting. Jika pesakit kurang fham atau salahan tafsir sesuatu arahan, ia boleh menyebabkan pesakit tidak mengikut arahan (non-compliant), memebuat kesilapan atau lambat mendapat rawatan. Ini boleh membawa kesan yang tidak diingini.
Kakitangan hadapan yang memikul tanggungjawab pentadbiran seperti penyambut tetamu, kerani dan pegawai keselamatan perlulah sensitif terhadap keperluan pesakit yang bermasalah kesihatan tertentu dan perlu memahami secara kasar proses penjagaan klinikal mereka. Kakitangan klinikal pula perlu membiasakan diri dengan prosedur pentadbiran dan bersedia serta sanggup berkerjasama atau memberi bantuan.
Orientasi dan Memberi Penerangan
Orientasi dan memberi penerangan mengenai prosedur kemasukan, waktu melawat, bayaran dan sebagainya wajib diberikan sebagai sebahagian dari proses pengurusan pentadbiran dan komunikasi. Ia memerlukan pendekatan tersendiri dan perlu dibezakan dari aktiviti pendidikan pesakit.
PERKHIDMATAN HOSPITALITI
Komponen perkhidmatan hospitaliti termasuklah:
- Sambutan tetamu dan perkhidmatan kaunter
- Penginapan
- Makanan
- Penyediaan Kemudahan dan Persekitaran yang selesa
- Hiburan
- Informasi
- Kemudahan komunikasi
- Kemudahan pengangkutan
- Kemudahan untuk berinteraksi sosial
Perkhidmatan hospitaliti yang diberikan perlu mengambilkira ciri-ciri penghormatan kepada hak kemanusiaan asas (basic human rights) berikut:
- Keselesaan
- Pengekalan hak dan had peribadi (maintenance of privacy) dan maruah (human dignity)
- Kerahsiaan maklumat (maintenance of confidentiality)
- Menentukan keselamatan diri dan harta kepunyaan pesakit
- Interaksi berasaskan saling menghormati dan simpati
MELAKSANAKAN PENJAGAAN SECARA MENYELURUH
Untuk menerapkan konsep penjagaan pesakit secra menyeluruh dalam sistem penyampaian khidmat kepada pesakit memerlukan perubahan dalam rekabentuk dan perancangan perkhidmatan. Manfaat optima hanya boleh dicapai jika semua yang berkaitan bekerjasama dan bertindak sebagai suatu pasukan. Polisi, prosedur dan suasana yang memberi ruang dan peluang kepada kalangan petugas profesional, pesakit dan saudara-maranya bersama berganding dan menyumbang kepada penjagaan kesihatan mestilah diwujudkan.
Pelaksanaan konsep ini memerlukan strategi berikut:
- Penggunaan kombinasi pelbagai pendekatan
- Penglibatan daripada semua petugas kesihatan
- Penyediaan kemudahan dan suasana untuk integrasi
- Perhatian kepada perlunya koordinasi
- Penyediaan mekanisma untuk penilaian berterusan
Perancangan Rawatan Berkonsepkan Penjagaan Menyeluruh
Pendekatan yang mungkin paling efektif untuk melaksanakan konsep ini adalah penggunaan “Plan Penjagaan Pesakit Komprehensif”. Plan penjagaan pesakit seperti ini menumpukan perhatian kepada semua aspek masalah kesihatan pesakit baik untuk jangkamasa pendek mahupun jangka masa panjang. Secara konsepnya, pelan penjagaan berbentuk penjadualan pelbagai aktiviti penjagaan pesakit mengikut edaran masa. Tugas atau tanggungjawab semua yang terlibat juga ditentukan.
Pelan penjagaan boleh wujud sebagai konsep di sanubari kakitangan kesihatan atau berbentuk nyata sebagai plan bertulis. Pelan penjagaan pesakit secara individu terbit daripada pelan generik yang perlu dibentuk dahulu. Rekabentuk plan penjagaan generik (untuk sesuatu masalah kesihatan atau penyakit) memerlukan sumbangan melalui perbincangan antara semua kategori kakitangan kesihatan profesional yang terlibat di dalam penjagaan pesakit, contohnya melalui penubuhan “Pasukan Pelbagai Jabatan” (interdepartmental teams) atau “Pasukan Perantaraan-fungsi” (cross-functional teams). Buat masa ini, Garispanduan Amalan Klinikal (Clinical Practice Guidelines) boleh dijadikan asas untuk plan generik, namun amat sedikit daripadanya telah dimajukan berpandukan konsep penjagaan pesakit menyeluruh. Rangkakerja untuk pelan penjagaan generik berpandukan kepada falsafah penjagaan pesakit keseluruhan adalah seperti yang ditunjukkan di bawah.
Pelan Penjagaan Pesakit berasaskan Proses Kerja Klinikal
